Followers

September 29, 2015

Pregnancy: Fertlity Treatment 3 : Intrauterine Insemination (IUI)

Setelah usaha aku untuk mengandung konon-konon dengan cara natural selepas buat HSG test tak berjaya, maka bulan Januari aku mengajak suami kembali ke klinik Liu & Vincent.

Disebabkan aku dah tahu bila nak makan clomid ni, maka masa hari pertama period baru aku pergi klinik. Masa jumpa doktor Vincent ni, bila dia tengok rekod aku kenapa tak datang lepas makan clomid aku senyum-senyum sahaja, lantas termenipu cakap suami busy lah outstation lah padahal mengelat nak cuba kaedah semulajadi konon. Dah gagal, reti pula kau ye Jemah nak mengadap muka dia.

Jadi macam biasa, makan clomid masa hari ke-3 hingga ke-7 period cycle.

Oleh kerana period aku jenis tetap (28 hari), maka doktor suruh aku datang semula ke klinik semasa hari ke-12 period cycle tu sebabnya waktu subur adalah hari ke-14. Kalau hari ke-14 dah tak boleh tengok sebab berkemungkinan telur-telur tu dah pecah.

Masa hari ke-12, pergi klinik semula tapi doktor Vincent tak ada pula. Maka, yang consult aku dan suami masa tu doktor Liu. Doktor Liu ni tua sikit lah, tapi lagi best. Dia jenis detail, lepas tu peramah pula kau tanya jelah apa pun dia akan jawab.

Lepas dia tengok rekod aku semua, dia suruh baring dalam posisi macam nak bersalin untuk prosedur Transvaginal Scan (TVS). Masa ni dia akan masukkan alat macam rod melalui vagina kau untuk tengok keadaan telur. Alhamdulillah, telur aku matang dan cantik tiada masalah. Yang paling cantik belah kiri, so lepas dia ukur saiz telur tu dia kata boleh proceed dengan IUI.

Dah habis semua, dia buat surat refer ke MMC untuk ambil sample sperm suami aku dan juga dia bekalkan aku Pregnyl. Pregnyl ni adalah ubat untuk merangsang telur yang matang tadi tu bagi dia pecah dan dilepaskan dengan mudah. Syaratnya ubat ni perlu disuntik dalam masa 24-48 jam sebelum prosedur IUI dilakukan. Jadi malam tu doktor suruh pergi ke mana-mana hospital dalam pukul 9 malam untuk minta bantuan nurse suntik Pregnyl ni. Aku dan suami memilih Hospital Terendak untuk dapatkan suntikan sebab dekat dengan rumah, dan doktor pun keluarkan surat untuk rujukan pihak hospital.

Nak balik, ubat Pregnyl tu diletakkan dalam ice bag sebab ubat ni kena sentiasa dalam keadaan sejuk.

Tapi maafkan aku, aku lupa la total cost untuk Pregnyl ni. Ampun.


Beg ni bukan free ye, kena sewa RM 30 tsskk. Bukan apa, for safety reason. Nanti kau pulangkan beg ni dapat balik duit tu okay, jangan risau.

Malam tu, pergi hospital, tunjuk surat doktor terus masuk bilik cucuk. Nurse tanya nak cucuk mana, eh mana lah aku tahu hahaha tapi dia suggest cucuk kat punggung ubat senang jalan katanya. Tak kisahlah nurse oi, asal kau cucuk. Kau salah cucuk siap!
Sambil tu dia sembang dengan aku sebab dia kata ni first time dia cucuk Pregnyl ni untuk IUI prosedur. Dia pun cerita la dia pun dapat anak lambat, so dia faham perasaan aku. Lepas dah siap semua, dia bagi kata-kata semangat. Pergh, terus berkobar semangat aku nak anak ni hurkk!!

................................................................................

Jadi hari ke-14, masa yang ditunggu sudah tiba.

Excited sebab aku rasa ni sahaja peluang terakhir aku dengan bantuan perubatan nak dapatkan zuriat sendiri sobsss.

Pagi tu, awal-awal dah keluar rumah bergerak ke MMC. Kata excited kan kihkih. Sampai je macam biasa, pergi kaunter, settled payment dan terus ke bahagian In Vitro Fertalization.

Total cost : RM 150

Macam biasa, masuk bilik romantik tu untuk keluarkan sperm suami. Dah siap, bagi staf untuk dianalisis dan 'dicuci'. Maksudnya dia akan pilih sperm yang gagah perkasa dan terbaik untuk prosedur IUI nanti. Masa ni juga dia akan terus lekat nama dekat bekas tu, for safety purpose. Yelah mana tahu nanti tertukar bekas, terus muka anak aku macam anak Che Ta pula kahkah.

Proses ni lama, ambil masa dua jam.
Dia cakap dia akan call bila proses tu dah selesai. Oleh sebab lama, kami memilih untuk keluar jalan-jalan dan bertuah betul MMC ni sebelah Mahkota Parade, jalan kaki sahaja tak perlu nak keluarkan kereta ke apa. Oh, lupa nak bagitahu parking kat MMC ni susah sikit ye nak dapat, jadi kalau dah dapat tu tak payah la kau nak keluar lepas tu masuk balik.

Lebih kurang nak dekat dua jam macam tu, dapat call dari MMC suruh datang ambil sample sperm yang dah siap dicuci.
Comel je aku tengok bekas berisi sperm tu sebab cecair sperm suami aku dah bertukar warna pink HAHA.
Masa ni staf tunjuk bekas dan nama, takut tersalah bagi. Okay betul, nama aku dan suami.
Kemudian staf akan consult sikit pasal prosedur IUI ni, bukan 100% berjaya. IUI juga bukan prosedur untuk tentukan jantina bayi. Dan kalau IUI tak berjaya, prosedur IVF yang memakan belanja berbelas ribu adalah pilihan terakhir tskk tsskkk sedihnya mana nak nak cari duit kalau IUI tak berjaya :(

Lepas dah habis semua tu, staf ucapkan semoga berjaya kepada kami. Rasa macam sedih pun ada, terharu pun ada. Bercampur baur dengan rasa teruja nak dapatkan anak.

Lepas tu, terus menghala ke klinik untuk teruskan dengan IUI sebab sperm ni tak boleh kena panas, beria aku tutup bekas tu dengan kain dan juga tak boleh lambat kena bawa secepat yang mungkin dikhuatiri nanti rosak.

.....................................................................................

Nasib baik dari MMC ke klinik tidaklah jauh mana.

Sampai sahaja, terus aku bagi bekas sample sperm tu kepada staf dan tunggu giliran.
Dah sampai giliran dan dipanggil, aku dan suami masuk ke bilik dan masa ni berjumpa dengan doktor Liu dan terus proceed ke prosedur IUI.

Baring macam posisi nak bersalin tu, tapi doktor aku sendalkan bantal bawah punggung supaya senang sperm nak masuk. Masa ni doktor Liu sangat tenang, siap buat lawak lagi.

"Ni confirm ye sperm husband. Bukan apa takut tambi mana punya nanti anak kau keluar hitam"

HAHAHAHA hilang nervous aku tau kau ni doktor.
Lepas tu dia tanya lagi.

"Cuba teka berapa peratus suami dan isteri yang tak ada masalah untuk dapat anak masa waktu subur?"

Aku punya la jawab 80% la, 90% la sekali jawapan dia ialah,

20% sahaja (-_-)

Aku tak tahu lah dia nak tenangkan hati aku ke, apa ke tapi jawapan dia melegakan aku sikit. Maknanya nak dapat anak ni bukan senang walaupun kau laki bini subur.

So, dah habis semua sembang-sembang dia pun mulakan prosedur IUI ni.

Siap suruh berdoa lagi tau doktor ni, tenang sikit aku.


Mula-mula tu dia akan buka laluan faraj kau pakai mulut itik tu. Yang ni disebabkan aku dah rasa, jadi taklah sakit sangat pun. Kemudian, doktor akan suntik sperm menggunakan alat yang disambung dengan tiub kecil ke dalam rahim. Tiub ni pada aku tak sakit, sebab dia kecil dan lembut. Tapi, rasa senak tu adalah cuma tak sesakit masa buat HSG tempoh hari. Suami pun aku suruh dia tengok sekali, biar dia nampak macam mana proses tu berjalan.

Sekejap je prosedur ni dah siap. Oleh kerana telur aku yang cantik sebelah kiri, maka doktor suruh aku mengiring ke kiri dalam tempoh 15 minit. Doktor pun suruh kami sambung ehem-ehem malam tu dan menasihatkan kami sendal bantal tidur bawah punggung.

Dah siap semua, alhamdulillah boleh balik dengan lega.
Tapi sorry sangat aku lupa kos IUI kat klinik tu tapi rasanya antara RM300-400. Sorry sangat-sangat ye tapi pada aku murah kalau dibandingkan dengan kos kat hospital swasta.


Jadi, tamatlah kat sini rawatan kesuburan aku hehe.

Pada aku masalah aku taklah sesulit orang lain sebab alhamdulillah kami memang tiada masalah dan hanya baru dua tahun berkahwin. Tapi itulah, bila tiada masalah tu lagi lah pening sebab tak tahu apa punca sampai susah sangat nak lekat isskkkk.

Masa buat IUI ni tipulah kalau aku tak mengharap. Tinggi kot harapan aku, cumanya taklah setinggi harapan yang sebelum ni. Masa ni aku dah cuba didik hati aku untuk cuba redha dan tawakal pada Tuhan, kalau kata bulan depannya aku period (padahal dalam hati kalau boleh janganlah period).

Aku kalau boleh tahun ni nak anak sebab bulan Disember cukup tiga tahun aku jadi isteri Adli. Dah dua tahun aku rasa setiap bulan aku cuba macam-macam tetapi gagal, dan setiap bulan lah asal period datang aku menangis sorang-sorang dalam toilet tu. Dua tahun jugalah aku paranoid kalau berjumpa dengan saudara-mara tanya aku dah ada isi ke belum sobbsss.



IUI ni berjaya ke tak?
Nanti aku cerita lagi ye. 

September 7, 2015

Pregnancy: Fertility Treatment 2 : Sperm and HSG Test

Sebelum tu nak minta maaf sebab lambat update perjalanan TTC aku. Biasalah sindrom mak mengandung pemalas ehehh.

Sambung cerita haritu ye.

Sampai sahaja kat Mahkota Medical Centre (MMC), ambil nombor, pergi kaunter,dan tunjuk surat doktor.
Bayar bil on the spot. So, total cost untuk test tu,

Sperm Test : RM 100
HSG Test : RM 220


Sperm Test

Oh ya, sebelum terlupa. Sebelum nak buat test ni, anda dan suami dinasihatkan berpuasa dari ehem ehem selama tiga hari bagi menjamin kepekatan kualiti sperm ye.

Dah settled semua, aku dan suami decide untuk buat sperm test dulu. Sebabnya aku baca ramai yang cakap HSG test ni prosedur dia lama sikit dan menyakitkan. Nanti kalau aku buat HSG test dulu kang tak pasal-pasal jalan terkengkang menahan sakit.
So, naik je tingkat tiga, pergi ke bahagian In Vitro Fertilization. Kat sini memang tempat khas untuk orang berusaha nak anak. Masa kami sampai tak ramai orang, tapi aku sorang je perempuan yang menemani suami. Yang lain sorang-sorang. Romantik tak aku? HAHAHAHA.

Pergi kaunter, dia akan bagi bekas untuk letak semen. Ada bilik khas untuk keluarkan semen, bagus juga sebenarnya sebab pernah baca sesetengah hospital tak sediakan bilik, maka terpaksa ke tandas -_-'
Maka, masuklah kami berdua ke dalam bilik itu untuk menjayakan misi.



Inilah dia rupa bilik tu. Romantik dan selesa kan? Maklumlah benda-benda macam ni kena suasana yang tenang dan damai. Mesra pelanggan orang kata. Sebelah kanan tu sofa, siap ada TV (aku yakin mesti dalam tu filem blue) tapi kami tak buka pun. Daripada buat dosa tengok aksi dalam TV tu, baik aku beraksi dengan laki aku. Dapat pahala lagi. Eh.

Dah siap semua, letak bekas tu kat kaunter dan tunggu kejap untuk staf analyzed dan keluarkan result.
Lepas dapat result yang kami tak faham satu apa pun, terus turun bawah untuk buat HSG test aku.


Hysterosalpingogram (HSG) Test

HSG Test ni dia buat kat bahagian Radioterapi, tingkat bawah sekali.

Sebelum tu nak cerita sikit.
HSG test ni dilakukan untuk mengesan sekiranya ada masalah atau sumbatan kat tiub fallopio. Kadang-kadang hormon dan rahim kita normal, tapi tiub fallopio pula yang bermasalah, tu yang menyebabkan sperma suami gagal sampai ke destinasinya.

HSG test ni pun bukan sembarangan hari kau boleh buat. Dia kena hari ke 9-12 period. Let say period kau datang selama 7 hari, so hari ke-9 tu dah boleh proceed test ni. Dan sebelum tu macam biasa, tak boleh ehem ehem dengan suami ye.
Lagi satu aku nasihatkan standby tuala wanita in case lepas buat test tu ada darah keluar lagi.

Macam biasa pergi kaunter, tunjuk surat dan bil, dia akan suruh masuk dan tukar baju yang macam nak X-Ray tu, tapi bra dan tudung tak payah tanggal. Cuma seluar dan seluar dalam yang kena tanggal. Lepas tu dia akan minta kau sign surat menandakan kau bersetuju untuk melakukan ujian tersebut.
Dah siap semua, dia akan suruh kau baring dalam posisi macam orang nak bersalin tu. Masa ni yang layan aku ialah nurse perempuan, so tak ada lah malu sangat.

Sempat lagi aku tanya,
"Dik, sakit tak buat test ni?"
"Sakit sikit je kak, yang penting akak kena rileks, jangan keraskan badan".

Bukan apa, sebab ramai cakap sakit yang macam senggugut tu. Tapi disebabkan aku memang jenis ada senggugut, jadinya tak adalah macam takut sangat. Rileks, bak kata nurse tu.

Aku pun kalau ikutkan nak minta doktor perempuan, tapi malangnya doktor yang on duty adalah lelaki tssskk tak apalah redha jelah nak buat macam mana.

sumber Google

Lebih kurang macam ni lah rupa tempat untuk prosedur HSG test tu.
Dah baring semua, nurse tu akan cuci sikit bahagian luar dan dalam vagina kau pakai kapas yang dicelup alkohol mungkin yang pada pendapat aku nak bagi bersih dan bebas jangkitan kuman. Masa ni bestlah, rasa berangin je. Kemudian, doktor masuk.

"Okay puan, kita akan mulakan ye. You rileks, jangan keraskan badan", kata doktor cina itu.

Masa ni dia akan pakai speculum atau yang orang panggil mulut itik. Senak jugalah, sebab dia nak buka laluan untuk tengok pintu rahim. Lepas tu, doktor akan masukkan satu tiub yang berisi dye (cecair berwarna).




Masa tiub ni masuk pun aku boleh rileks lagi walaupun dah mula rasa sakit.
Tapiiiiiiiiii..... bila sahaja doktor tu flush dye tu, dia punya sakit ya ampun sampaikan aku terpejam mata sambil-sambil genggam kain lapik tu. Memang betul sakit macam senggugut tapi dia punya sakit berkali ganda. Masa tu doktor dan nurse tu pun dah macam,

"Rileks,rileks jangan keraskan badan ye".

Hoi lah kalau dah begitu mau aku tak keraskan badan. Ni kalau tendang muka doktor tu pun best juga kan, baru dia tahu sakit tak sakit aku ni. Masa aku tengah menahan sakit ni, aku ada dengar dia macam snap gambar lepas tu dia suruh aku gerakkan badan ke atas, kiri dan kanan tolak pakai kaki aku. Mata memang aku pejam sebab sakit sangat. Lepas dah selesai semua, doktor keluar dan tinggallah aku berdua dengan nurse tu.

"Okay puan, dah selesai", sambil dia hulurkan kertas tisu untuk aku lap sisa darah yang keluar.

Masa ni aku tengok ya Allah, banyaknya darah siap ada blood cot (darah beku yang berketul tu) lagi tapi tak banyak lah. Bila aku tanya nurse, dia cakap mungkin tu sisa darah period yang melekat. Memang lojik sebab HSG test ni pun orang kata boleh bersihkan tiub fallopio.

Lepas tu dia hulurkan tuala wanita nipis kat aku. Sempat lagi aku minta maaf sebab dah kotorkan pelapik kain tu padahal dia okay je bukan dia cuci pun kain tu HAHAHA alaaa biasalah aku kan berbudi bahasa.

Dah siap semua lap-lap, pakai tuala wanita pakai seluar baju semua aku pergi ke luar kaunter untuk tunggu keputusan. Suami siap tanya, "Okay tak?".
Hah, aku cakap sakit macam senggugut tapi lagi sakit. Masa duduk nak menunggu keputusan tu aku rasa lama gila sebabnya rahim aku ni macam dipulas-pulas. Eh, lepas tu boleh pula rasa nak terberak terus pergi tandas. Dah habis, duduk balik sakit tu datang semula sampai aku terbongkok genggam tangan suami kuat-kuat.

Seriously, kalau tanya pengalaman aku, HSG test ni sakit. Tapi, benda ni bergantung kepada orang juga. Ada yang tak sakit langsung. Ada yang sakit, tapi keluar darah sikit sahaja. Jadi, janganlah takut ke apa nak buat HSG test ni. Sebabnya bila aku cerita kat kawan TTCian ada yang tak sangguplah, lepas tu rasa sperm test tu macam malu nak buatlah.
Benda macam ni kena open minded sikit, jangan rasa rendah diri dan tak yakin. Nak anak kan?

Okay sambung cerita.

Selepas menunggu lebih kurang setengah jam macam tu, dapatlah result ni. Lepas tu eh, boleh pula aku tengah sakit macam tu ajak husband singgah Jusco Ayer Keroh kejap sebab nak lunch dan tukar tuala wanita baru. Kemudian, terus ke klinik Liu & Vincent untuk rujukan doktor.


Jumpa doktor Vincent, dia tengok result sperm test suami dulu.

Alhamdulillah, sperm suami sihat, berkualiti dan gagah perkasa, bilangan cukup dan aktif.  Doktor bekalkan supplement Zinc untuk suami makan, lantaran suami merokok dengan harapan supplement dapat membantu menaikkan lagi kualiti sperma suami.
Ingat ye tu adik adik lelaki.

Merokok itu membahayakan kesihatan dan sperma anda.




Untuk result HSG test aku pun alhamdulillah, doktor cakap tiada sumbatan dan kedua-dua tiub aku tiada masalah.

Dah habis semua, doktor bekalkan aku dengan ubat clomid  dos 50mg untuk tengok pula keadaan telur-telur aku.
Ubat ni kena makan selama lima hari, bermula hari ke 3 hingga ke 7 period. Kemudian kena datang semula berjumpa doktor semasa hari ke 12 (untuk yang haidnya teratur dan hari subur adalah hari ke 14).

Kalau tanya kos aku ingat-ingat lupa lah. Sorry kalau salah.
Lebih kurang RM 150 macam tu kot untuk consultation, supplement Zinc dan ubat clomid.

........................................................................................................

Tapi ehem, aku stop kejap rawatan ni HEHEHE.

Dah makan ubat clomid ni, aku tak jumpa doktor balik konon-konon nak cuba naturally sebab aku ada baca
ada yang berjaya pregnant lepas HSG test ni. Yelah, mungkin lepas dah kena 'cuci', tiub pun dah clear tu yang berjaya pregnant kot.

Akan tetapi, usaha kami gagal, period aku datang juga sobssss sedihnya rasa macam alaaaa tak berkesan ke kaedah tu.
Jadi, bulan Januari kami memilih untuk teruskan dengan kaedah IUI (Intrauterine Inseminasi) sebagai jalan terakhir.

Next time lah aku cerita pula pengalaman melalui prosedur IUI ni.
Penatlah taip.
Korang ni tak penat ke baca?