Followers

May 27, 2013

Kenduri Kahwin

Ok blame on me sebab dah lama tak update blog HAHA. Malas sebenarnya nak menaip. Asal aku nak menaip kat office je, member sebelah jeling jeling nak baca. Malu tau. Aku kan pemalu kahkah.

Dah umur umur macam ni, alhamdulillah, ramai kawan dan saudara mara aku yang mengakhiri zaman bujang.

Seronok tau, tengok kawan kawan bahagia. Lagi lagi kawan kawan yang kau pernah tengok payahnya dia nak jumpa lelaki yang betul betul bernama lelaki ikhlas sayang dia. Terharu tau sobss.

Lepas itu tengok pula sepupu yang main sama sama masa kecil, gaduh segala macam benda, rasa macam cepatnya masa berlalu tak boleh lah nak cubit cubit, pukul pukul sikit takut nanti ehem..bini menjeling manja garang terhadap aku.

Belakangan ni memang sibuk dengan kenduri kahwin. Lagi lagi kenduri kahwin saudara mara, aku rasa memang kena pergi sebab mengenangkan yang mereka bersusah payah tolong masa kenduri kita, jadi rasa macam tak adil kalau tak datang.

Tapi itulah, kalau bertembung dengan kenduri kahwin kawan, yang datang masa kau kahwin, betul ni aku cakap. Memang bersalah gila. Lagi lagi kalau dapat kawan yang jenis mengungkit,
'Masa dia kahwin aku datang, tapi bila tiba hari aku...'

Paling palat bila bertembung dia tarik tarik muka pffftttttt.

Entahlah nak cakap.

Macam jenis aku, pasal kenduri kahwin ni benda simple.

Kalau aku dapat kad, aku akan cakap, aku akan datang, kalau tak ada urusan lain. Melainkan kalau betul betul tak boleh datang, yang mana bertembung dengan kenduri saudara, aku akan cakap awal awal tak boleh.

Macam aku kahwin hari tu, ada lah beberapa orang kawan yang tak dapat datang, siap minta maaf bagai. Aku okay je sebenarnya.

Aku dah jemput, nak datang ke tak nak datang ke, itu terpulang. Yang penting aku dah jemput. Jangan risau, tak adanya aku akan mengungkit mahupun marah marah lantaran ketidakhadiran kau di majlis aku. Tambahan pula, aku memang tak akan perasan kelibat sesiapa pun sebab sibuk tengok muka suami aku. Eh bukan, sibuk melayan para tetamu yang ramai hewhew.

Melainkan bila dah selesai kenduri, aku pun dah selamat tidur dengan suami aku, pula tu dah berbulan jadi seorang isteri, ada yang tiba tiba,

'Eh dah kahwin ke? Sampai hati tak jemput. Tak bagi kad pun.' -_-"

Masa tu aku tak ingat apa yang aku carutkan dalam hati aku.


Mei dua puluh lima 2013.
Selamat pengantin baru abang ipar!



Ehem ehem.. selamat pengantin lama!
Rasa nak peluk akan tetapi bila memikirkan berada di dalam masjid, maka kami terus bersopan dan bersantun.




Oh ya, selamat suami sudah habis kursus fuhh. Merana okay jiwa aku masa dia berkursus tu, tapi biasalah aku kan macho takkan nak cerita kat orang jiwa raga aku terseksa.

Sekarang ni suami dah berjaya sewa rumah kat sana.

Ya Allah, permudahkanlah urusan dan rezeki kami suami isteri.








May 10, 2013

26

Mei sepuluh 2013.

Selama hidup 25 tahun ni, tak ada apa pun aku nak dibanggakan.
Kereta, waima rumah pun tak mampu nak beli. Hutang PTPTN masih banyak, makin banyak mungkin. Kerja pun tahap tahap kuli. Dosa, tahu sangat lagi banyak dari pahala.

Cuma bersyukur, 25 tahun aku masih diberi kesempatan untuk hirup udara. Masih sihat gembira. Alhamdulillah.

Dapat jadi isteri pun, rasa rahmat besar dari Tuhan.

Orang yang pertama wish, mestilah emak aku. Tengah sibuk kami anak beranak jahit manik, tepat pukul 12 tengah malam mak wish. Siap tegur abah aku yang tengah leka tengok TV, 'Eh abah, tak wish pun hari jadi senyap je.' Abah diam. HAHA lelaki memang macam tu kot, malu nak sebut depan depan.

Buat kawan kawan yang wish, kat FB ke, Whatsapp ke, SMS ke, malahan email ke. Terima kasih banyak banyak aku ucapkan. Tak kisahlah, taip panjang panjang, Selamat Hari Jadi Jimah semoga dipanjangkan umur, murah rezeki, cepat cepat dapat baby, ataupun sekadar HB sahaja, aku hargai sangat sangat ingatan korang di hari lahir aku :)

Terharu aku. Betul ni tak tipu.

Suami dalam hutan, Isnin depan baru balik. Entah ingat ke tak birthday aku, minta mintalah dalam hutan tu ada benda yang boleh ingatkan dia tentang aku seperti dedaun hijau yang melambai, air sungai yang mengalir tenang, kicauan burung di dahan dan sebagainya.  :(

Tapi.

Tapi.

Tapi.

Tengahari tadi balik dari meeting kejap, member tunjuk ni.



Dalam hutan ada servis delivery bunga ke apa?

Thank you sayang :')


Akhirulkalam.
Tak ada apa pun aku minta untuk hari lahir aku ni.
Semoga aku jadi perempuan yang bahagia dunia akhirat. Insha Allah.



Bukan gambar semalam










May 7, 2013

Lima Bulan

Hari ini genap lima bulan.

Lima bulan yang penuh cerita.
Lima bulan yang penuh mencabar.

Lima bulan kena tinggal, lantaran suami hadiri kursus. Lima bulan yang menguji bila kami terpaksa berjauhan. Bulan bulan yang banyak betul drama aku reka, maklumlah baru kahwin, duduk jauh HAHA childish. Dan, bulan yang betul betul menguji suami bila abah meninggal dunia :(

Macam sekejap sangat, rasa nak putar balik masa tu, nak rasa semula betapa kelam kabutnya kami dengan persediaan kahwin, suami sanggup datang malam malam dari Melaka nak dapatkan tandatangan abah SAHAJA, kemudian balik semula malam itu juga, hah itulah awak buat lagi last minute kan dah menyusahkan diri sendiri padan muka.

Kadang duduk sendiri, boleh tergelak bila teringatkan kali pertama kami kenal. Macam kelakar, macam tak percaya siap boleh buat lawak sambil memerli bila berdua, betapa pemalunya suami bila pertama kali jumpa aku tapi sekarang, aku pula yang malu. Eh. Yang paling kelakar sangat, bila tengah mengimbau kenangan tu, terus lagu Cinta Muka Buku berkumandang hewhewhew bodohlah radio ni macam tahu tahu je.

Alhamdulillah, bahagia selalu ada antara kami. Walaupun jauh, bukanlah pengukur bahagia atau tidak. Cukup aku rasa hidup aku lengkap sebagai wanita bila sudah ada suami. Sangat bahagia, tak reti aku nak explain macam mana.

Tipulah kalau sepanjang lima bulan ni, tak ada drama, tapi drama kami sekejap sebab rasa awkward bila tak tegur, dahlah jarang jumpa lepas tu nak merajuk rajuk pula entah apa-apa aku ni. Selalu aku lah yang mula, maklumlah ketandusan kasih sayang tssk.

Aku pun dah boleh sesuaikan diri dengan kehidupan kami sekarang. Bukanlah kata aku tak biasa dari dulu, tapi lain rasanya bila dah kahwin, biasalah nak manja manja lebih. Best wooo kahwin ni.

Sesiapa yang sedang bercinta tu, aku sarankan kahwinlah segera. Kalau alasan belum cukup ilmu rumahtangga ke apa, insya Allah boleh belajar perlahan lahan. Duit, bak kata suami, kalau kumpul sampai umur 40 tahun pun belum tentu cukup, sebab makin banyak duit kita, makin banyak tanggungjawab kita kena pegang. Tapi percayalah cakap aku, kalau niat dan usaha nak kahwin itu ada, Allah pasti akan bantu :)

Memang nak harung perkahwinan itu bukan perkara enteng, tapi aku percaya selagi masing masing kuat, Allah pasti akan tunjuk jalanNya. Jangan risau pasal soal rezeki ni. Tak kemana pun dia, cepat atau lambat sahaja.



Baru lima bulan.
Sama sama kuat ye sayang :')
Love you.

P.S. Nanti nantilah aku buat review kahwin. Gila dah basi haha. Bai.







May 3, 2013

Dah Pergi

Assalamualaikum

Tak tahu nak mula dari mana. Semua macam tiba tiba, bercampur baur, tak pandai aku nak tulis satu satu.

Mula dua Ahad lepas, suami bagitahu kakak ipar telefon, abah jatuh bilik air. Terkejut, tapi suami kata abah baik saja, cuma kaki bengkak sapu ubat. Rentetetan dari jatuh tu, abah demam pula. Demam yang berhari hari, dan abah menolak pergi klinik. Macam gitulah abah, tak nak susahkan siapa siapa. Abah ada kencing manis. Minggu tu aku dan suami sibuk, uruskan hal kad nikah, urusan cukai di LHDN. Memang kami dah rancang, Khamis malam nak balik Jengka. Aku pun dah siap siap mohon cuti Jumaat sampai Selasa depannya sebab nak teman suami mengundi.

Rabu.

Malam. Dalam pukul 9 lebih macam tu, kakak ipar telefon, abah kena tahan wad kritikal sebab tiba tiba tak sedar. Terus suami bersiap, aku tolong kemas beg dan apa apa yang patut. Aku cakap kat suami, baliklah dulu nanti Khamis malam aku naik bas, sebab aku sayang cuti aku yang tinggal berbelas hari sahaja sampai hujung tahun ni. Berat, tapi bila suami cakap, 'Saya ada abah je sekarang ni', terus meleleh air mata aku peluk suami. Terus aku pun kemas baju aku sekali. Pergi matilah dengan cuti baki aku tu. Supervisor nak bising pun lantaklah.

Sampai Hospital Temerloh dalam pukul 11 lebih macam tu. Suami masuk tengok abah. Keluar keluar sahaja, aku tengok mata dia berair, tak sampai hati katanya. Doktor pula keluar masuk, tanya itu tanya ini, sambil update perkembangan abah. Tengah malam tu suami ajak keluar beli makanan, lapar pula semua orang. Kesian. Balik balik, kakak ipar cakap abah dah pindah ke wad ICU.

Lagi bertambah risau semua orang. Kami semua tunggu kat ruang depan, tengok lagi doktor keluar masuk tanya itu ini. Aku dan suami masuk. Demi Tuhan, sepanjang aku dengan suami, pertama kali aku tengok suami menangis. Aku cuba tahan, tapi terkeluar juga lama lama. Betul, sangat tak sampai hati aku tengok semua orang. Duduk duduk, tak sedar tertidur. Sedar sedar dah pukul 7 pagi macam tu.

Khamis.

Pagi. Turun bawah, sarapan kejap. Lepas tu balik, rehat kejap dan mandi. Tengahari tu aku dan suami pergi bandar Temerloh, sebab masa melawat mula pukul 5 petang. Balik semula ke hospital, saudara mara dan jiran ramai melawat abah. Kami sampai hospital pun nak dekat masa habis, cepat cepat aku dan suami masuk tengok abah. Sebelum balik tu, adik beradik suami bincang giliran jaga abah. Suami tawar diri nak jaga dengan abang sulung, tapi suami dan aku nak balik rumah dulu, nak packing barang dan tidur kejap.

Malam. Dalam pukul 10 malam tu, aku dah nak lelap, suami juga macam tu. Tiba tiba pintu bilik diketuk, kakak ipar cakap siap siap abah dah tenat. Kedengaran juga suara kakak ipar menangis. Dalam perjalanan tu, aku rasa lambat sangat, walaupun suami bawa laju. Sampai sahaja sana, abang ipar cakap abah dah nazak sangat. Doktor dah cuba guna defibrillator, tapi tak berkesan. Doktor masukkan ubat, dan itu pilihan terakhir.

Tapi doktor dah bagitahu awal awal, abah tak ada harapan. Doktor pun dah pasang siap siap surah Yassin. Menangis semua kat situ berpelukan. Pertama kali aku tengok situasi macam tu, aku bungkam. Aku cuba jadi tenang, peluk suami yang mengongoi sedih. Tapi aku pun turut sama menangis, menangis yang cuba ditahan. Masing masing bergilir bisik di telinga abah. Sempat aku minta maaf pada abah, sambil cuba suruh abah kuat walaupun aku tahu sangat mustahil.

Tepat jam 11.30 malam, doktor isytiharkan abah dah tak ada. Abah dah pergi selama lamanya. Macam tak percaya. Minggu sebelum tu aku baru jumpa abah, siap suruh aku bawa pisang balik rumah. Baru je rasanya salam abah, cium dahi abah, peluk abah sebelum balik KL. Tapi malam tu aku cium dahi abah, sejuk sangat. Sebak betul, tak tertahan air mata aku.

Alhamdulillah, urusan pengkebumian arwah abah berjalan lancar dan senang. Abah pergi dengan tenang, setenang hari Jumaat yang penuh berkat. Abah memang tak susahkan anak anak dia, waima sampai nafas terakhir dia. Kakak ipar cakap, abah selalu cakap nak pergi malam Jumaat. Terima kasih Allah, Kau bagi nikmat selama 139 hari dengan dia. Semoga abah dapat jumpa emak di sana :')




Malam tu, sebelum tidur, masing masing senyap. Pandang siling. Aku tahu suami sedih lagi, tapi aku yang menangis lebih.

Bila suami cakap,
'Saya dah jadi anak yatim piatu,' lagilah melalak aku.

Hari ini genap seminggu sehari arwah abah pergi. Kejap sangat rasa.

Bersyukur sangat, abah sempat tengok aku dan suami bernikah. Cuma, itulah. Tak sempat abah nak tengok cucu dia. Jangan risau ye abah, nanti Jimah tunjuk gambar abah yang Adli simpan dalam dompet dia kat cucu cucu abah. Inilah dia Atok Sani :')

Dahlah, perit pula tekak aku tiba tiba.

Selamat mengundi ye semua.
Aku nak pergi tandas ni. Murah pula air mata aku di hari Jumaat ni.
Bai.